Biasiswa JPA - Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) Peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama 2020 - Senarai Biasiswa Malaysia 2023/2024 | Biasiswa JPA etc.

Biasiswa JPA - Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) Peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama 2020

Permohonan Biasiswa JPA - Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) Peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama | Permohonan adalah dipelawa kepada calon-calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2019 bagi kali pertama untuk mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) di bawah Program Khas Jepun, Korea, Perancis, dan Jerman (JKPJ).

Mulai tahun 2020, Kerajaan telah menambah baik program ini dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke negara China.

Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) ini dibuka kepada semua pelajar lepasan SPM tahun 2019 yang berminat dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi (S&T) dan sains sosial di negara Jepun, Korea, Perancis, Jerman dan China. Pelajar akan ditaja untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah pertama di negara-negara berkenaan.

Syarat Kelayakan Biasiswa JPA Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ):

  • Warganegara Malaysia;
  • Mempunyai kesihatan yang baik;
  • Menduduki peperiksaan SPM buat pertama kali pada tahun 2019;
  • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada tahun peperiksaan SPM diduduki;
  • Ibu/bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA; dan
  • Tidak menerima bantuan kewangan / tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat pengajian yang sama.
Calon-calon juga perlu memenuhi syarat khusus mengikut bidang yang telah ditetapkan.

Cara Memohon Biasiswa JPA Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ):

Permohonan dibuka secara dalam talian (online) selama sepuluh (10) hari mulai 9 Mac 2020 sehingga 18 Mac 2020. Calon boleh merujuk Frequently Asked Questions (FAQ) yang dimuat naik di Portal JPA bagi maklumat lanjut berhubung program yang ditawarkan.

Borang Permohonan Online Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini / meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Hanya pindaan yang terkini sahaja diambil kira untuk tujuan penyimpanan data. Calon hendaklah memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan Permohonan Penajaan Program Khas JKPJ Tahun 2020 sebagai bukti permohonan telah dibuat.

Pertanyaan mengenai program tajaan dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3297 / 3553 / 3387 mulai 9 Mac 2020 hingga 18 Mac 2020 (hari bekerja) dari jam 9:00 pagi hingga jam 4:30 petang atau kemukakan maklum balas melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di http://jpa.spab.gov.my/eApps/system/index.do.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 18 Mac 2020 (Rabu) jam 5.00 petang. Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.

Keputusan permohonan penajaan Program Khas JKPJ ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang http://www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my/ selewat-lewatnya pada 5 Mei 2020 (Selasa) jam 5.00 petang.

Biasiswa JPA - Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) Peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama
Tarikh tutup: 18 Mac 2020
Kongsikan pada semua.. Moga berjaya!

=========================================
Saluran Info Biasiswa Terkini:
Website: www.TawaranBiasiswa.com
Facebook: www.facebook.com/TawaranBiasiswa
Twitter: www.twitter.com/TawaranBiasiswa
Telegram: http://t.me/TawaranBiasiswa
=========================================
Sumber: Portal Rasmi JPA


Student Assessment Center (SAC)
Calon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri SAC. Tujuan SAC adalah bagi menyediakan profil interpersonal pelajar, menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA.

Program SAC dijadualkan pada 6 April 2020 hingga 10 April 2020 di pusat-pusat yang telah ditetapkan secara Zon.

Zon Tengah (Bangi)
Zon Selatan 1 (Melaka)
Zon Selatan 2 (Johor Bahru)
Zon Utara 1 (Jitra)
Zon Utara 2 (Pulau Pinang)
Zon Timur 1 (Kuantan)
Zon Timur 2 (Kota Bharu)
Zon Sabah (Kota Kinabalu)
Zon Sarawak 1 (Kuching)
Zon Sarawak 2 (Miri)

Program Kejuruteraan Teknikal Jepun

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Kejuruteraan Teknikal Jepun akan mengikuti kursus persediaan selama 24 bulan di Pusat Persediaan Kajian Teknikal Jepun, di INTEC UiTM, Shah Alam. Pelajar-pelajar akan menduduki peperiksaan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) pada akhir tahun dua (2) kursus persediaan.

Pelajar yang lulus peperiksaan tersebut dan memenuhi syarat kemasukan ke kolej-kolej teknikal di Jepun serta memenuhi syarat yang ditetapkan oleh JPA akan meneruskan pengajian kejuruteraan peringkat Diploma selama tiga (3) tahun di Kolej Teknikal di Jepun. Pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dengan tajaan JPA sekiranya menunjukkan prestasi yang cemerlang di peringkat Diploma dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPA serta diterima masuk ke universiti di Jepun. Tempoh pengajian bagi peringkat Ijazah Pertama di Jepun ialah dua (2) tahun.

Program Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) Korea

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan di bawah program ini akan mengikuti program persediaan selama sembilan (9) bulan di INTEC UiTM, Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian peringkat persediaan dan Sijil Bahasa di Pusat Bahasa yang ditetapkan oleh Jabatan di Korea.

Pelajar yang melepasi had kecemerlangan yang ditetapkan Kerajaan akan diserap ke dalam penajaan melalui dua (2) kaedah iaitu, pelajar yang mendapat keputusan CGPA 3.75 dan ke atas akan ditawarkan pengajian terus ke peringkat ijazah pertama selama empat (4) tahun dan pelajar yang mendapat keputusan CGPA 3.74 dan ke bawah akan ditawarkan pengajian ke peringkat diploma selama 2 tahun dan ijazah pertama 2 tahun.

Program Khas Kejuruteraan Perancis

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Kejuruteraan Perancis akan mengikuti kursus persediaan sama ada di INTEC, UiTM Shah Alam atau di UniKL Malaysia France Institute (UniKL-MFI) Bangi.

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Kejuruteraan Perancis akan mengikuti kursus persediaan di INTEC, UITM Shah Alam selama sebulan dan seterusnya menyambung pengajian persediaan di Perancis selama 12 bulan. Prestasi pelajar semasa kursus persediaan di Perancis akan menentukan sama ada pelajar layak atau tidak untuk meneruskan pengajian peringkat Ijazah Pertama selama lima (5) tahun di universiti-universiti terkemuka di Perancis (Grand Ecole).

Pelajar yang mengikuti kursus persediaan di UniKL Malaysia France Institute (UniKL-MFI) pula akan mengikuti kursus Bahasa Perancis dan beberapa mata pelajaran Sains dan Matematik bagi tujuan mengambil peperiksaan kursus persediaan selama 13 bulan. Selepas berjaya di peringkat persediaan dan memenuhi had kecemerlangan akademik yang ditetapkan, pelajar akan melalui ‘Bridging Program’ di Universiti di Perancis selama dua bulan sebelum meneruskan pengajian di Institut Universitaire deTechnologie (IUT) bagi memperolehi kelayakan Diplome Universitaire deTechnologie (DUT).

Seterusnya pelajar akan mengikuti pengajian Diplome d’Ingenieur selama 3 tahun di Grand Ecole. Kelayakan ini memenuhi keperluan untuk tujuan pendaftaran sebagai jurutera Siswazah dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan ianya juga dinilai setaraf dengan Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari IPT tempatan.

Diplome Universitaire deTechnologie (DUT) dari Institut Universitaire deTechnologie (IUT) diiktiraf sebagai setaraf dengan Diploma Kejuruteraan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bagi maksud lantikan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia.

Program Khas Sains Sosial Perancis

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Khas Sains Sosial Perancis akan mengikuti kursus persediaan sama ada di UniKL Malaysia France Institute (UniKL-MFI) Bangi selama 13 bulan dan seterusnya mengikuti bridging program di Universiti di Perancis selama dua bulan.

Prestasi pelajar semasa kursus persediaan akan menentukan sama ada pelajar layak atau tidak untuk meneruskan pengajian peringkat Ijazah Pertama selama tiga (3) ke empat (4) tahun di universiti-universiti terkemuka dalam bidang sains sosial di Perancis (Sciences Po, Grenoble Ecole de Management dan SKEMA Business School) dalam bidang seperti Hubungan Antarabangsa, Ekonomi, Statistik, Human Resource, Sains Politik, Perniagaan Antarabangsa atau Pengurusan Global.

Program Khas Kejuruteraan dan Sains dan Teknologi (S&T) Jerman

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Khas Jerman akan mengikuti kursus persediaan sama ada di INTEC selama 18 hingga 22 bulan atau di Sunway College selama 18 bulan atau di German Malaysian Institute selama 22 bulan. Semua pelajar yang lulus dengan jayanya kursus persediaan seterusnya akan ditaja mengikuti pengajian peringkat Bachelor selama tiga (3) tahun di institusi-institusi pengajian tinggi di Jerman. Pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Master di Jerman sekiranya menunjukkan prestasi yang cemerlang di peringkat Bachelor dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tempoh pengajian peringkat Master adalah selama dua (2) tahun.

Kelayakan Bachelor’s (BEng. / BSc. in Engineering) dalam bidang Kejuruteraan dari Universiti Applied Sciences (UAS) di Jerman adalah tidak setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan. Kelayakan yang diiktiraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan adalah selepas ditambah dengan Ijazah Master’s (MEng. / Msc. in Engineering) di Bidang Kejuruteraan yang sama secara Kerja Khusus (Tought Course) dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf Kerajaan. Walau bagaimanapun, pelajar perlu menyemak pengiktirafan bagi kursus kejuruteraan yang akan diambil dengan pihak Lembaga Kejuruteraan Malaysia (BEM).

Bagi bidang Sains & Teknologi, pelajar boleh memilih bidang-bidang yang berkaitan dengan Industri Revolution 4.0 (IR 4.0) seperti Artificial Intelligence, Big Data, Internet of Things atau Science Computer.

Program Khas Sains dan Teknologi (S&T) China

Selain Jepun dan Korea, China juga telah dimasukkan sebagai salah satu negara di bawah DPT 2.0 mulai 2019 sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 12 Jun 2019. Sehubungan dengan itu, negara China telah ditambah dalam senarai negara penajaan JPA.

Pelajar yang berjaya ditawarkan penajaan Program Khas Sains dan Teknologi (S&T) China ini akan mengikuti kursus persediaan di Management & Science University (MSU) selama 12 bulan dalam bidang Digital Ekonomi. Semua pelajar yang lulus dengan jayanya kursus persediaan seterusnya akan ditaja mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama selama dua (2) tahun di MSU sebelum menyambung pengajian di universiti di negara China selama dua (2) tahun.